TETAP ISTIQAMAH DI WAKTU FITNAH (BHG. 1)


TETAP ISTIQAMAH DI WAKTU FITNAH (BHG. 1)

Syaikh Dr. Amin Al-Sa’di, Pensyarah Perbandingan Agama dan Firaq, Uni. Islam Madinah, Arab Saudi

Penterjemah: Ustaz Abu Omar, Idris bin Sulaiman

menjaga diri dari fitnahPerbincangan kita pada malam ini berkisar tentang fitnah akhir zaman di mana ia adalah satu perkara yang cukup penting untuk kita ambil berat dan untuk kita ketahui berdasarkan kepada kedua Al-Quran dan juga Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Allah Jalla wa ‘Ala di dalam Al-Quran Al-Karim berfirman tentang fitnah,

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Dan berjaga-jagalah kalian dari ‘fitnah’ yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim di antara kalian saja. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Keras hukumanNya.” (Surah Al-Anfal: 25)

Perkataan fitnah membawa maksud ujian yang terpaksa dihadapi, di mana apabila seseorang itu dikatakan ditimpa fitnah maknanya seseorang itu telah diuji. Dan fitnah ini boleh menimpa kedua-duanya iaitu orang yang berlaku adil dan juga orang yang berlaku zalim, sebagaimana firman Allah ‘Azza wa Jalla,

لَتُبْلَوُنَّ فِي أَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا أَذًى كَثِيرًا وَإِنْ تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

“Kamu pasti akan diuji terhadap hartamu dan dirimu, dan kamu pasti akan mendengar dari orang-orang yang diberi Al-Kitab sebelum kamu dan dari orang-orang yang menyekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya itu termasuk urusan yang patut diutamakan.” (Surah Ali ‘Imran, 3: 186)

Maka apabila fitnah menimpa orang yang beriman, ia akan membuktikan keimanan orang itu, berbeza dengan orang yang berlaku zalim, apabila ditimpa fitnah maka akan terbuktilah kezaliman dan kesesatan mereka.

WAJIB MENGHINDARI DAN MENYELAMATKAN DIRI DARI FITNAH

Ini membuatkan perlunya kita meminta perlindungan daripada Allah agar kita diselamatkan daripada ditimpa fitnah sama ada fitnah yang zahir mahupun fitnah yang tersembunyi. Ini merupakan sunnah Nabisallallahu ‘alaihi wasallam yang menuntut supaya kita sentiasa menjauhi pintu-pintu fitnah seperti mana sabit di dalam hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

إِنَّ السَّعِيدَ لَمَنْ جُنِّبَ الْفِتَنَ إِنَّ السَّعِيدَ لَمَنْ جُنِّبَ الْفِتَنِ إِنَّ السَّعِيدَ لَمَنْ جُنِّبَ الْفِتَنُ وَلَمَنْ ابْتُلِيَ فَصَبَرَ فَوَاهًا

“Sesungguhnya orang yang berbahagia adalah orang yang dijauhkan dari fitnah. Sesungguhnya orang yang berbahagia adalah orang yang dijauhkan dari fitnah. Sesungguhnya orang yang berbahagia adalah orang yang dijauhkan dari fitnah. Dan barangsiapa yang ditimpa fitnah lalu dia bersabar, maka dia akan mendapat kebaikan.” (Sahih. Riwayat Abu Dawud)

Sungguh menakjubkan bagi seorang Muslim yang apabila dia ditimpa fitnah lalu dia terus kekal tabah dan bersabar di dalam menghadapi musibah yang menimpanya. Fitnah-fitnah di akhir zaman secara khasnya telah disebut di dalam banyak hadis-hadis Baginda. Antara yang disebutkan oleh Baginda,

سَتَكُوْنَ فِتَنٌ القاعِدُ فِيْها خَيْرٌ مِنَ الْقَائِمِ والقائمُ فيها خيرٌ من المَاشِي والماشِي فيها خير من السَّاعِي. مَنْ تَشَرَّفَ لَها تَسْتَشْرِفْهُ وَمَنْ وَجَدَ مَلْجَأً أَوْ مَعَاذاً فَلْيَعِذْ بِهِ

“Kelak akan ada banyak fitnah di mana orang yang duduk ketika berlakunya fitnah lebih baik daripada yang berdiri, yang berdiri lebih baik daripada yang berjalan, dan yang berjalan lebih baik daripada yang berlari. Siapa yang menghadapi fitnah tersebut maka hendaklah dia menghindarinya dan siapa yang mendapati tempat kembali atau tempat berlindung darinya maka hendaklah dia berlindung.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Imam Al-Bukhari dalam kitab Sahihnya meletakkan satu bab khusus tentang menghindari fitnah, iaitu: Bab Min Ad-Dini Al-Firaru min Al-Fitan (Bab Termasuk Dari Agama adalah Menghindari dari Fitnah). Imam Al-Bukhari di bawah bab ini membawakan hadis Nabi daripada Abu Sa’id Al-Khudri radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

يُوشِكَ أَنْ يَكُونَ خَيْرَ مَالِ الرَّجُلِ غَنَمٌ يَتْبَعُ بِهَا شَعَفَ الْجِبَالِ وَمَوَاقِعَ الْقَطْرِ يَفِرُّ بِدِينِهِ مِنْ الْفِتَنِ

“Hampir sahaja sebaik-baik harta seseorang adalah kambing yang dia pelihara di puncak bukit dan lembah, kerana dia lari menyelamatkan agamanya dari fitnah.” (Riwayat Bukhari)

Perhatikanlah wahai kaum Muslim kepada hadis yang agung ini di mana Baginda sallallahu ‘alaihi wasallammenyebutkan tentang lelaki yang mengembala beberapa ekor kambing dan membawanya jauh dari manusia di puncak bukit dan lembah semuanya untuk menyelamatkan diri dan agamanya dari fitnah.

Hadis ini menggambarkan kepada kita tentang tuntutan supaya kita menjauhi tempat-tempat fitnah dan memohon daripada Allah agar sentiasa memberikan kesejahteraan dan keselamatan. Apabila seseorang itu ditimpa fitnah hendaklah dia terus kembali kepada Allah Jalla wa ‘Ala, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikan bagi orang yang beriman wasilah yang cukup hebat iaitu doa.

Firman Allah Jalla wa ‘Ala,

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) sesungguhnya Aku dekat. Aku menjawab permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka mendapat kebenaran.” (Surah Al-Baqarah, 2: 186)

Maka hendaklah kita mengetahui bahawa doa itu adalah senjata yang sangat penting bagi kita, sehingga Al-Faruq Umar Al-Khatthab berkata,

إني لا أحمل همَّ الإجابة،  ولكن أحمل همَّ الدعاء

“Sesungguhnya aku tidak memikul urusan dimakbulkan doa, tetapi aku memikul urusan doa itu sendiri.”

Iaitu doa yang ingin dipanjatkan oleh seseorang Muslim itu terdapat syarat-syaratnya, dan terdapat juga perkara-perkara yang menghalang doa itu daripada diperkenankan. Adapun sama ada doa itu diperkenankan atau tidak adalah di atas urusan dan kehendak Allah. Maka dengan itu hendaklah setiap Muslim mengambil perhatian tentang perkara ini. Hendaklah dia sentiasa menjauhi perkara-perkara yang boleh menghalang doanya daripada diperkenankan oleh Allah.

CARA MENGHINDARI FITNAH

1) BERDOA DAN MEMPERHATIKAN SYARAT-SYARAT DOA

Kalau kita lihat, sebahagian kaum Muslimin menghadapi pelbagai bentuk fitnah dan musibah, dan mereka berdoa dan terus berdoa tetapi doa mereka tidak diperkenankan. Berkaitan hal ini, terdapat hikmah yang cukup agung dan cukup besar di sisi Allah. Ada kemungkinan terdapat perkara-perkara yang menghalang doanya diperkenankan, sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis yang sahih bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِىَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

“Seorang lelaki yang menempuh perjalanan jauh sehingga rambutnya kusut dan badannya berdebu, dia mengangkat kedua tangannya ke langit lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Sedangkan makanannya haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan rezekinya dari sumber yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?” (Riwayat Muslim)

Perhatikan wahai kaum Muslimin kepada hadis yang mulia ini, Baginda sallallahu ‘alaihi wasallammenyebutkan perihal seorang lelaki yang sedang bermusafir yang telah melakukan segala sebab untuk diperkenankan doanya, dia tidak mempedulikan keadaan dirinya, rambutnya kusut dan badannya penuh dengan debu, dia mengangkat kedua tangannya ke langit, dan mengangkat kedua tangan adalah sebab untuk diperkenankan doa. Kemudian dia telah berdoa kepada Allah dengan menyebut nama Allah “Ya Rabb, Ya Rabb” yang juga merupakan sebab diperkenankan doa adalah membenarkan Rububiyah Allah, tentu sahaja Allah akan memperkenankan doa seorang hamba yang menyeruNya.

Namun Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkan di penghujung hadis perkara-perkara yang menghalang diperkenankan doa seseorang; iaitu makanannya dari sumber yang haram.

Dapat kita lihat ramai manusia yang sumber rezekinya dari sumber yang haram, berapa ramai orang yang berdepan dengan ujian memakan riba’ –wal’iyyadzu billah-, hasilnya mereka menjamah daripada sumber yang haram, begitu juga dengan anak-anak mereka. Dan minuman mereka haram, mereka mengenyangkan perut mereka dengan hasil yang haram ini. Pakaian mereka juga turut haram, harta mereka dari sumber yang haram, harta mereka ternyata dari harta orang fakir miskin yang diambil bukan secara haq (benar). Maka akhirnya rezeki mereka serba serbi haram. Berkenaan hal ini, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkan,

كلُّ جَسَدٍ نبتَ مِنْ سُحْتٍ فالنارُ أولَى بِهِ

“Setiap jasad yang tumbuh dari yang haram, maka Api Nerakalah yang paling layak baginya.” (Sahih. Riwayat Al-Hakim dan Baihaqi)

Kemudian Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda di penghujung hadis kewajipan supaya kita menjauhkan diri dari perkara ini di mana Baginda berkata, “Bagaimana hendak diperkenankan doanya jika begitulah keadaannya.” Bagaimana  diperkenankan doa seseorang sekiranya inilah ciri-cirinya. Maka hendaklah kita semua menghindarkan diri dari jalan yang seumpama ini.

Jauhkanlah diri dari segala perkara-perkara syubhat. Bersyukurlah wahai saudaraku kepada Allah.

Kita berdoa kepada Allah agar Allah memberi kepada kita keselamatan dan kesejahteraan, dan memelihara anak-anak kita, dan memperelokkan isteri-isteri kita, dan semoga Allah memberi kemenangan kepada agama ini. Maka mengapa kita sendiri yang menjadi penghalang kepada diperkenankan doa, dan mengapa kita tidak mahu menerima nasihat?

2) NASIHAT KE ARAH KEBAIKAN

Sepertimana sabit di dalam hadis Sahih Muslim dari sahabat Tamim bin Aus Al-Daariy bahawa Nabisallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

« الدِّينُ النَّصِيحَةُ » قُلْنَا لِمَنْ قَالَ « لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ »

“Agama itu adalah nasihat. Kami (para sahabat) bertanya, “Untuk siapa?” Baginda menjawab, “Untuk Allah, KitabNya, RasulNya, Pemimpin Kaum Muslimin dan Kaum Muslimin secara umum.” (Riwayat Muslim)

Oleh itu wahai kaum Muslimin, nasihat adalah di antara sebab dan cara untuk kita menjauhkan diri kita dari fitnah, dan untuk kita menghindarkan masyarakat dan juga rumah kita dari fitnah.

3) MENJAGA SOLAT & MENJAGA HAK MANUSIA

Di antara fitnah yang zahir yang dapat kita lihat adalah banyaknya pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi di Negara Islam yang tidak solat. Semoga Allah memelihara kita daripadanya. Sebahagian mereka tidak solat secara berjemaah, mereka menzahirkan perbuatan mungkar dan terkutuk mereka ini.

Maka menjadi kewajipan untuk kita saling menasihati mereka dengan nasihat supaya mereka bertakwa kepada Allah dan sentiasa ingat kepada pesanan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sedang Baginda di atas pembaringan maut dan Baginda mengetahui bahawa Baginda berdepan dengan sakaratul maut lalu Baginda berkata,

الصلاةَ الصلاةَ اتَّقوا اللهُ فيما ملكتْ أيمانُكم

“Solat! Solat! Dan bertaqwalah kepada Allah dalam apa juga yang di bawah tanggungan kalian.” (Sahih. Riwayat Al-Thabari)

Iaitu bermaksud saya berpesan supaya kamu menjaga solat kamu, dan menjaga syarat-syarat dan rukun-rukunnya, perkara-perkara wajibnya dan perkara-perkara sunatnya, dan mengerjakan solat secara berjemaah kecuali jika ada keuzuran. Ini adalah hak Allah ‘Azza wa Jalla yang perlu ditunaikan.

Kemudian Baginda tidak lupa memperingatkan supaya kita menjaga hak-hak manusia di mana Baginda memerintahkan agar menjaga ‘apa juga yang di bawah tanggungan kamu’, yakni hamba-hamba lelaki dan perempuan yang dimiliki oleh seseorang Tuan.

Maka bagaimana mereka yang mempunyai pekerja-pekerja di bawahnya di mana mereka berkewajipan untuk bertakwa kepada Allah di dalam muamalahnya dengan mereka. Maka janganlah dia menzalimi pekerja-pekerjanya, dan janganlah dia memberatkan mereka dengan apa yang mereka tidak mampu, dan janganlah dia memakan harta mereka dengan cara yang batil. Ini semua adalah sebab-sebab untuk kita menyelamatkan diri dari fitnah.

4) MEMPERBANYAK BACAAN AL-QURAN DAN MENTADABBURINYA

Termasuk juga di antara cara untuk kita terpelihara dari fitnah adalah hendaklah seorang Muslim itu memperbanyakkan membaca Al-Quran, iaitu dengan mentadabburinya, mencari penyelesaian, mencari kebaikan dan apa yang mampu memperbaiki dan memberi kebaikan untuk dunia dan juga akhiratnya.

Apabila dia membaca Surah Al-Fatihah misalnya, hendaklah dia menghayati Sifat-sifat Allah yang terkandung di dalamnya, yang bagiNya Asmaul Husna (Nama-nama yang Baik), dan Sifat-sifat yang Utama, Kemampuan yang Sempurna, Keagungan yang Menyeluruh.

Apabila kita membaca “Iyyaaka na’budu wa iyyaaka nasta’in” (kepadaMu kami menyembah dan kepadaMu kami meminta pertolongan), ayat ini adalah rahsia Al-Quran. Al-Quran seluruhnya menjadi penjelas kepada ayat ini. Barangsiapa yang memahami erti kata ibadah dan meminta pertolongan kepada Tuhannya maka dia mendapat hasilnya. “Ihdinassiratal mustaqim sirath alladzina an’amta ‘alaihim (Tunjukkan kami jalan yang lurus, jalan yang Engkau telah berikan nikmat ke atas mereka)”. Dan Allah menyebut di dalam Surah Al-Nisa’ tentang orang yang diberi nikmat,

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَئِكَ رَفِيقًا. ذَلِكَ الْفَضْلُ مِنَ اللَّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ عَلِيمًا

“Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan RasulNya, mereka itulah yang akan bersama-sama dengan orang-orang yang diberikan nikmat oleh Allah (iaitu) dari kalangan para Nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang yang saleh. Dan mereka itulah sebaik-baik teman. Itulah kurniaan dari Allah, dan Allah-lah yang Maha Mengetahui.” (Surah Al-Nisaa’, 4: 69-70)

Maka apabila seorang Muslim telah memahami kandungan Al-Quran, maka apa perlunya untuk dia mengadu kepada sesama manusia? Sebaliknya, jadilah seperti Nabi Ya’qub ‘alaihissalam yang berkata,

إِنَّمَا أَشْكُوْا بَثِّيْ وَحُزْنِيْ إِلَى اللهِ

“Sesungguhnya aku mengadu keperihanku dan kesedihanku hanya kepada Allah.” (Surah Yusuf: 86)

Maka berdoalah kepada Allah agar memperbaiki keadaan kita, memperbaiki hati-hati kita, dan menjauhkan kita dari fitnah sama ada yang zahir ataupun yang batin.

5) MENINGGIKAN AGAMA ALLAH (KALIMAH TAUHID)

Lihatlah keadaan para Nabi dan para Rasul, mereka telah berlaku baik di dalam muamalah mereka dengan Allah, maka Allah memberi kepada mereka keselamatan. Allah telah menyelamatkan Nabi Nuh, begitu juga Nabi Ibrahim apabila dia dilemparkan ke dalam api, juga Nabi Ayyub yang ditimpa penyakit dalam tempoh yang cukup panjang, begitu juga Nabi Ibrahim yang diuji dengan kewajipan menyembelih anaknya Nabi Ismail, juga Nabi Yusuf yang telah diuji dengan dilemparkan ke dalam perigi dan kemudian dihumban ke dalam penjara secara zalim, namun akhirnya mereka semua mendapat kejayaan.

Raja pada zaman Nabi Yusuf meminta supaya dihadapkan kepadanya Nabi Yusuf. Lihat bagaimana keperitan bertukar kepada kebahagiaan. Allah berfirman di dalam Al-Quran tentang Nabi Yusuf, sesungguhnya dia adalah di antara hambaNya yang ikhlas.

Maka barangsiapa yang mengingati Allah dalam keadaan senang, Allah akan mengingatinya di waktu susah. Allah sama sekali tidak akan lalai terhadap seseorang hamba yang menjaga hubungannya dengan Allah, atau seorang perempuan yang menjaga maruahnya, dan menjaga solat lima waktu, yang sentiasa mengingati Allah, membaca Al-Quran, menjaga batas-batas yang ditetapkan oleh Allah, dan menghindari perkara yang dilarang oleh Allah Jalla wa ‘Ala. Firman Allah ‘Azza wa Jall,

إِنَّ اللهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُم مُّحْسِنُونَ

“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Al-Nahl: 128)

Dan Allah menyebutkan tentang Nabi Yunus ‘alaihissalam, di mana Nabi Yunus berkata,

لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

“Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.” (Surah Al-Anbiyaa: 87)

Dia mengucapkannya secara ikhlas. Dan Allah berkata,

فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْغَمِّ وَكَذَلِكَ نُنْجِي الْمُؤْمِنِينَ

“Maka Kami perkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan begitulah Kami menyelamatkan orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Anbiyaa: 88)

Beginilah keadaan Nabi Yunus ‘alaihissalam di mana dia telah memahami kalimah Agung Tauhid “Laa Ilaaha illaa Anta (Tiada Tuhan kecuali Engkau)” iaitu tiada sembahan yang berhak disembah secara benar kecuali Allah semata-mata. Lalu Nabi Yunus menyatakan “Subhanaka (Maha Suci Engkau)” di mana ia berasal dari perkataan “Sabbaha (menyucikan)” yang membawa maksud pengagungan dan menyucikan iaitu Allah Maha Suci dari sebarang kekurangan mahupun kecacatan.

Kemudian Nabi Yunus mengatakan tentang dirinya “Sesungguhnya aku tergolong di kalangan mereka yang zalim”. Ini adalah di antara contoh tawaduk para Nabi dan Rasul, dan mereka takut terhadap Allah, lalu Allah menyelamatkannya dari kegelapan malam dan kegelapan lautan, dan juga kegelapan perut ikan.

Dan Allah menyelamatkan kaum Nabi Yunus di mana pada mulanya Allah hampir menimpakan azabNya ke atas mereka tetapi akhirnya Allah menerima taubat mereka dan menyelamatkan mereka sebagaimana firman Allah,

وَأَرْسَلْنَاهُ إِلَى مِائَةِ أَلْفٍ أَوْيَزِيدُونَ  فَئَامَنُوا فَمَتَّعْنَاهُمْ إِلَى حِينٍ

“Dan Kami utuskan dia kepada seratus ribu orang atau lebih. Lalu mereka beriman, maka kerana itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.” (Surah Al-Shaaffaat: 147-148)

Ini semua adalah hasil dari ketaatan, keberkatan zikir dan amalan-amalan saleh, dan juga keagungan Tauhid yang dengannya Allah menyelamatkan manusia dari kegelapan dan keperitan. Dan Allah menyelamatkan masyarakat dengannya (Tauhid), bahkan keamanan dan kemakmuran serta kehidupan yang bahagia terikat dengan Tauhid.

Allah Jalla wa ‘Ala berfirman di dalam Surah Al-An’aam di mana sebahagian para ulama mengatakan hampir-hampir keseluruhan kandungan surah ini menjurus kepada Tauhid. Firman Allah Jalla wa ‘Ala di dalamnya,

الَّذِينَ آَمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ أُولَئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُمْ مُهْتَدُونَ

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencemarkan iman mereka dengan kezaliman, mereka itulah yang mendapat keamanan dan mereka itulah yang mendapat petunjuk.” (Surah Al-An’aam: 82)

Maka sesungguhnya kesyirikan itu adalah fitnah yang paling besar, dan itulah yang dimaksudkan dengan kezaliman dalam ayat ini.

Perhatikan bagaimana para sahabat khuatir atas diri mereka walaupun dalam keadaan mereka beribadah, dan cinta mereka kepada Nabi, jihad mereka pada jalan Allah, juga mereka telah meninggalkan kampung halaman, harta-harta mereka di Makkah serta anak pinak mereka pada jalan Allah, begitu juga dengan kaum Ansar yang telah menyambut kedatangan kaum Muhajirin dan membantu mereka dalam segala perkara. Namun apabila mereka mendengar ayat ini, mereka merasa takut yang bersangatan. Mereka bertanya kepada Rasulullah,

أَيُّنَا لَمْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ؟

“Siapakah dari kalangan kami yang tidak zalim pada dirinya?” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jawab Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam,

لَيْسَ كَمَا تَقُولُونَ {لَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ} بِشِرْكٍ أَوَلَمْ تَسْمَعُوا إِلَى قَوْلِ لُقْمَانَ لاِبْنِهِ يَا بُنَيَّ لاَ تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

“Bukan kezaliman seperti apa yang kalian katakan, tetapi “dan tidak mencampurkan keimanan mereka dengan kezaliman,” bermaksud dengan kesyirikan. Tidakkah kalian mendengar ucapan Luqman kepada anaknya, ‘Wahai anakku janganlah engkau syirik kepada Allah, sesungguhnya Syirik itu adalah kezaliman yang besar.’” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka barangsiapa yang menegakkan Tauhid, sesungguhnya dia akan mendapat keamanan dan dia akan mendapat petunjuk, juga keamanan yang sempurna yang mencukupkan akidahnya dan agamanya, dan dia akan mendapat ketenangan dalam hatinya dan di rumahnya, dan ketika mana dia pergi dan ketika mana dia pulang, dan dia akan mendapat keamanan ketika mana dia dimasukkan ke dalam kuburnya, dan Allah akan memberi keamanan kepadanya pada Hari Kebangkitan. Dengan itu juga dia mendapat petunjuk pada amalannya, di dalam kata-katanya, dan dia sentiasa akan mendapatnya di mana juga dia berada.

FITNAH PALING BESAR

Maka sebesar-besar fitnah adalah Syirik kepada Allah yang Maha Agung. Perhatikanlah negara-negara Islam pada hari ini, betapa banyaknya kubur-kubur yang didekati, di mana masyarakat berdoa (menyeru dan meminta) kepadanya, sedangkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,

الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

“Doa itu adalah ibadah.” (Sahih. Riwayat Abu Dawud dan Al-Tirmizi)

Malah, doa itu adalah tiang yang paling besar di dalam agama. Sebagaimana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,

الْحَجُّ عَرَفَةُ

“Haji itu adalah Arafah.” (Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)

Maka wuquf di Arafah itu adalah tiang yang paling penting dan berperanan seperti Haji itu sendiri. Maka begitulah doa, ia adalah tiang ibadah dan perkara paling penting dalam ibadah.

Jika seseorang itu menujukan doanya kepada seorang yang telah mati, meminta kesejahteraan dan kesihatan, bagaimana dia boleh meminta kepada orang yang di dalam kubur segala pertolongan, sedangkan Allah Jalla wa ‘Ala telah memberi amaran kepada orang yang berdoa kepada selainNya di dalam firmanNya,

وَمَن يَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَهاً آخَرَ لَا بُرْهَانَ لَهُ بِهِ فَإِنَّمَا حِسَابُهُ عِندَ رَبِّهِ إِنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْكَافِرُونَ

“Dan barangsiapa berdoa kepada Tuhan yang lain di samping Allah, padahal tidak ada suatu bukti (dalil) pun baginya tentang itu, maka sesungguhnya hisabnya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tidak akan mendapat kejayaan.” (Surah Al-Mukminun, 23: 117)

Allah memberi ancaman bahawa mereka akan dihisab yang perit, dan Allah juga menafikan kejayaan ke atas mereka, dan Allah menamakan mereka sebagai orang yang kafir, dan sesungguhnya orang yang kafir tidak akan berjaya.

Maka hal ini cukup bahaya bagi seseorang yang menyekutukan Allah dengan selainNya. Maka jangan kita berdoa kecuali kepada Allah, jangan kita berharap kepada selain Allah, dan jangan kita bertawakkal kecuali kepada Allah, dan jangan kita menyerahkan urusan kita kecuali kepada Allah, dan jangan kita tunduk kecuali kepada Allah, dan jangan kita sujud atau meletakkan wajah kita kecuali kerana Allah.

Maha Suci Allah, ke mana perginya akal fikiran kaum Muslimin, sedangkan mereka mengatakan mereka adalah orang Islam. Di mana Islam mereka? La haula wala quwwata illaa billaah, ramai di kalangan mereka yang mati dalam keadaan sebegini (menyekutukan Allah), dan ini jelas merupakan fitnah yang cukup besar.

Bahkan ada sebahagian mereka yang menulis perkataan-perkataan yang menjurus kepada Syirik Akbar (Syirik yang besar). Jelas mereka telah terjerumus ke dalam fitnah yang cukup besar. Maka menjadi kewajipan untuk kita berjaga-jaga dan berhati-hati terhadap hal yang sedemikian dengan memperhatikan agama kita, diri kita, harta kita, dan apa juga urusan.

ISLAM DICEMBURUI KERANA TAUHID

Mengapa kita bersikap kikir terhadap urusan agama. Sedangkan orang-orang Yahudi dan Nasrani cukup cemburu kepada kita kerana agama kita ini. Allah telah memberikan kepada kita taufiq. Beringatlah kepada Allah. Berusahalah untuk mengangkat agama Allah nescaya Allah akan memberikan pertolongan. Firman Allah ‘Azza wa Jalla,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu menolong (agama) Allah nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu. (Surah Muhammad, 47: 7)

Jagalah syariat Allah, nescaya Allah akan menjaga kamu. Tegakkanlah hukum Allah, nescaya Allah akan memberikan kamu kemuliaan, Allah akan memberikan kamu kekayaan, dan Allah akan memberikan kegembiraan ke dalam hati-hati kamu, dan Allah akan menghina musuh-musuh kamu.

Inilah tugas yang telah dipikul oleh para Nabi sejak mula terzahirnya Syirik pada zaman Nabi Nuh‘alaihissalam hingga zaman Nabi dan Rasul penutup, Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.

Bersambung..

Sumber : http://ustazidrissulaiman.wordpress.com/2013/06/26/tetap-istiqamah-di-waktu-fitnah-bhg-1/