Mazhab Imam al-Syafi‘i Terhadap Sunnah dan Hadis


Mazhab Imam al-Syafi‘i Terhadap Sunnah dan Hadis 

Al-Imam al-Syafi`i sebagai pembela sunnah

oleh :  Mohd Yaakub bin Mohd Yunus.

 imam syafii 2Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah (150H-204H) diperkenalkan oleh al-Imam al-Zahabi, seorang ahli sejarah yang ulung seperti berikut:

“Muhammad bin Idris bin ‘Abbas bin ‘Uthman bin Syafi’ bin al-Saib bin ‘Ubaid bin ‘Abd Yazid bin Hisyam bin al-Mutallib bin ‘Abd Manaf bin Qusaiy bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Luaiy bin Ghalib. Beliau adalah Imam, ‘alim zamannya, pembela sunnah, faqih agama, Abu ‘Abd Allah al-Qurasyi (keturunan Quraisy), juga al-Mutallibi (keturunan al-Mutallib) al-Syafi’i (keturunan al-Syafi’i) al-Makki. Kelahiran Ghazzah, bernasab (berketurunan) Rasulullah s.a.w.” (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`)

Al-Imam Ahmad rahimahullah berkata :

Sungguh Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah adalah seorang pembela sunnah.

Tambah Al-Imam Ahmad rahimahullah lagi :

Aku tidak pernah melihat orang yang lebih mengikut sunnah seperti Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah.

Al-Imam Ahmad rahimahullah seterusnya berkata:

Di antara kesungguhan Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah yang terpuji adalah apabila ia mendengar hadis yang belum ada padanya, maka ia mengambilnya dan meninggalkan pendapatnya.” (al Baihaqi, Manaqib al-Syafi’i, 1/471 & 476).

Beberapa kenyataan dari beliau di bawah ini akan dapat memberi satu gambaran yang lebih jelas tentang kesungguhan Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah untuk mengikuti sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sehingga beliau digelar sebagai pembela sunnah (Nashir al-sunnah).

Apabila hadis itu sahih, maka dia adalah madzhabku.” (Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Shalat Nabi, 58)

Setiap apa yang aku katakan, sedangkan dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terdapat hadis sahih yang bertentangan dengan perkataanku, maka hadis nabi adalah lebih utama. Oleh itu, janganlah kamu mengikutiku (bertaqlid padaku).“(Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Shalat Nabi, 59)

Kaum muslimin telah sepakat bahwa barang siapa yang telah terang baginya Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka tidak halal baginya untuk meninggalkannya kerana mengikuti perkataan seseorang.” (Muhammad Nashiruddin al-Albani, Sifat Shalat Nabi, 58)

Seorang lelaki berkata kepada al-Imam al-Syafi`i: “Apakah engkau akan berpegang dengan hadis ini, wahai Abu ‘Abd Allah?”. Jawab beliau: “Apabila diriwayatkan daripada Rasulullah sesuatu hadis yang sahih dan aku tidak mengambilnya, maka ketahuilah bahawa akalku telah hilang”. (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/34)

Kata al-Humaidi:

Suatu hari al-Syafi`i meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?”. Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasululah shallallahu ‘alaihi wasallam lalu aku tidak berpegang dengannya. (Al-Zahabi,Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/34)

Langit manakah yang akan memayungiku, bumi manakah yang akan menanggungku, jika aku meriwayatkan hadis daripada RasululLah shallallahu ‘alaihi wasallam lalu aku tidak berpegang kepadanya” (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/34)

Setiap hadis daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku” (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/35)

Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku. Jika sahihnya sesuatu hadis maka campakkan pendapatku ke dinding”. (Al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 10/35)

Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedang ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi’iin, 2/263)

Demikianlah mazahab Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah terhadap sunnah-sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan kepada kita semua yang bermazhab syafi’i.

Sumber : http://hafizfirdaus.com/ebook/HimpunanRisalah1/chapter8%20imam%20syafi’i.htm