Mazhab Imam al-Syafi‘i Terhadap Sunnah dan Hadis (Penutup)


Mazhab Imam al-Syafi‘i Terhadap Sunnah dan Hadis (Penutup)

imam syafiiInilah mazhab Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah dalam menerima al-Sunnah dan hadis ahad sebagai hujah. Sudah jelas bagi kita Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah mewajibkan penggunaan al-Sunnah, termasuklah hadis ahad dalam semua perkara agama dan beliau juga tidak membezakan penggunaannya (hadis ahad) dalam masalah aqidah dan masalah yang lain. Kita juga dapat melihat bahawa Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah dan Imam-Imam Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang lain telah sepakat untuk menggunakan hadis ahad dalam isu seperti azab kubur, soal jawab munkar & nakeer, turunnya Imam Mahdi & Isa al-Masih, syafaat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam di hari akhirat, Tawheed Asma was Sifat, hadis ru’yah dan banyak perkara lagi.

Kita harus berhati-hati dengan satu arus yang agak kuat dewasa ini yang dibawa oleh musuh-musuh Islam untuk menentang Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tetapi berselindung di sebalik isu hadis ahad. Objektif yang utama adalah untuk menimbulkan keraguan dalam masyarakat Islam terhadap hadis-hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Musuh-musuh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sememangnya senantiasa membenci Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, malah seboleh-bolehnya mereka inginkan umat Islam agar menjauhkan diri dari sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Ternyata dengan menolak penggunaan hadis ahad sebagai hujah boleh menggoyahkan institusi sunnah kerana hadis yang tarafnya mutawatirhanyalah sedikit. Secara tidak langsung dengan menolak penggunaan hadis ahad, begitu banyak hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih akan tersisih dari masyarakat Islam.

Nasihat saya kepada para pembaca yang budiman sekalian adalah kekal dengan manhaj yang telah disepakati oleh para salaf al-ummah. Inilah generasi yang telah dijamin oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai generasi yang terbaik untuk dijadikan contoh ikutan sebagaimana sabda baginda shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiin) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabiut tabiin)” (Hadis riwayat al-Bukhari)

al-Imam al-Auza’i (157H) rahimahullah pernah berpesan:

Bersabarlah dalam menetapi sunnah, berhentilah pada saat kaum (salaf al-Ummah) berhenti, katakanlah sebagaimana perkataan mereka dan diamlah sebagaimana mereka diam. Berjalanlah di atas jalan mereka yang terdahulu (al-Salaf) kerana jalan tersebut akan menghantar kepada tujuan yang telah mereka capai. (Diriwayatkan oleh al-Ajurri dalam al-Syari‘ah).

Sumber : http://hafizfirdaus.com/ebook/HimpunanRisalah1/chapter8%20penutup.htm

 

Iklan