Mazhab Al-Imam al-Syafi`i dalam menerima hadis ahad.


Mazhab Al-Imam al-Syafi`i dalam menerima hadis ahad.

Oleh : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus.

imam syafiiSebelum kita melihat pegangan Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah terhadap hadis ahad, kita akan terlebih dahulu meneliti mazhab Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah dalam menerima atau menolak sesebuah hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Semoga dengan pemahaman yang benar dalam syarat-syarat sah dan diterimanya hadis menurut Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah, ianya akan dapat kita jadikan pedoman dalam berinteraksi dengan sunnah-sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam termasuk hadis-hadis yang berstatus ahad.

Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah bercerita:

Ada seorang berkata: “Sebutkan kepadaku batas minimum syarat untuk diterima hujjah terhadap ahli ilmu sehingga berita atau riwayat orang khusus diterima dan dianggap (benar) bagi mereka.”

Aku (Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah) menjawab : “Riwayat satu orang dari satu orang, hingga sampai kepada Nabi atau hingga kebawah (peringkat terakhir / paling bawah). Hujjah dan perbahasan dengan riwayat satu orang tidak dapat diterima kecuali jika memenuhi sejumlah kriteria.

Di antara kriteria itu adalah yang meriwayatkan adalah seorang tsiqah (terpercaya) dalam agama, dikenal jujur dalam berbicara, faham dengan apa yang diriwayatkannya, mengetahui maksud lafaz, dan ketika menyampaikan hadis ia menyampaikan sesuai dengan apa yang didengar tepat dengan huruf-hurufnya dan tidak menyampaikannya dengan makna (dengan lafaz dari dia sendiri). Kerana bila ia meriwayatkannya dengan makna (dengan pemahaman dia sendiri), padahal ia tidak mengetahui maksud lafaz, maka mungkin terjadi ia salah memahami sehingga seharusnya haram, malah ia katakan halal. Dan apabila ia menyampaikannya (meriwayatkannya) dengan huruf-hurufnya, maka kesalahfahaman tersebut tidak akan terjadi. Ia harus meriwayatkannya seperti itu baik dengan cara dihafal atau ditulis.

Bila ada ahli penghafal hadis yang lain meriwayatkan hadisnya, maka riwayatnya harus sama dengan riwayatnya itu. Juga ia tidak tergolong seorang yang mudallis (menipu) dengan meriwayatkan dari seorang yang dijumpainya pada satu riwayat yang tidak didengar olehnya, ia harus meriwayatkan dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam riwayat yang tidak berbeza dengan apa yang diriwayatkan oleh orang-orang tsiqah daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Begitulah kriteria yang harus dimiliki mulai perawi terendah (paling bawah) hingga paling atas yang sampai kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana masing-masing dari mereka diakui oleh orang yang mengambil riwayatnya dan oleh orang yang mengambil riwayat darinya, sehingga masing-masing dari mereka harus memenuhi kriteria ini.” (Dr Muhammad AW al-‘Aqil, Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i rahimahullah Ta’ala, 89)

Sekian kata-kata Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah yang darinya boleh kita membuat satu kesimpulan bahawa beliau menerima hadis dan mengikutinya dengan syarat hadis itu sahih dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan tidak membezakan antara hadis ahad atau hadis mutawatir. Kriteria yang telah ditetapkan oleh Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah ini adalah sama dengan kaedah yang telah dibuat oleh Ulama’ Hadis dalam bidang musthalah iaitu:

 

  1. Sanadnya tersambung (tidak putus / muttashil)
  2. Para Perawinya adil
  3. Perawinya dhabit (tepat dan sempurna hafalannya)
  4. Selamat dari syadz. Yang dimaksudkan syadz adalah riwayatnya tidak bertentangan dengan riwayat orang lain yang lebih tsiqah darinya.
  5. Selamat dari ‘illat atau cacat yang membuatnya cela.

Syaikh Ahmad Muhammad Syakir rahimahullah mengomentari ucapan Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah di atas sebagai berikut :

“Siapa sahaja yang memahami ucapan al-Imam al-Syafi`i rahimahullah pada bab ini, pasti ia akan mendapati, bahwa al-Imam al-Syafi`i rahimahullah telah merangkum kaedah-kaedah yang sahih tentang ilmu al-hadis (al-Musthalah), dan bahawa dialah yang pertama kali menjelaskan secara jelas tentangnya, dia juga sebagai pembela hadis serta orang yang berhujah tentang wajibnya mengamalkan sunnah. Al-Imam al-Syafi`i rahimahullah juga memberi bantahan terhadap orang-orang yang menentang dan menolak hadis. Benarlah penduduk Makkah yang menggelari al-Imam al-Syafi`i rahimahullah dengan gelarNashir al-Sunnah (pembela sunnah), semoga Allah Subhanahu wa Ta‘ala meridhainya.” (Dr Muhammad AW al-‘Aqil, Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i, 89)

Demikian serba ringkas tentang mazhab al-Imam al-Syafi`i rahimahullah dalam mengesahkan dan menerima sesebuah hadis yang boleh kita semua jadikan sebagai pedoman dan inilah manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang sebenar.

Sumber: http://hafizfirdaus.com/ebook/HimpunanRisalah1/chapter8%20mazhab%20syafi’i%20dan%20hadis%20ahad.htm