30 – PRINSIP DAKWAH PARA SALAF AS-SOLEH


PRINSIP DAKWAH PARA SALAF AS-SOLEH

Sesungguhnya para Nabi dan para Rasul memulakan dan menyebukkan diri mereka dengan mengajak manusia kepada tauhid. Menyeru mereka untuk beribadah hanya kepada Allah dan meninggalkan semua jenis bid’ah dan kesyirikan. Allah berfirman:

وَمَا اَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَّسُوْلٍ اِلاَّ نُوْحِيْ اِلَيْهِ اَنَّهُ لاَاِلَهَ اِلاَّ اَنَا فَاعْبُدُوْنِيْ.

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasulpun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawa tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku maka sembahlah olehmu akan Aku”.[1]

Para Nabi dan para Rasul sentiasa menyebukkan diri mereka untuk mengenalkan umat tentang nama-nama, sifat-sifat serta kekuasaan Allah. Mereka berusaha supaya manusia menuju ke jalan tauhid yang sebenar iaitu hanya menyembah Allah, supaya sekalian manusia tahu bahawa mereka dijadikan adalah untuk beribadah hanya kepada Allah Azza wa-Jalla semata yang tidak boleh disekutukan dengan makhlukNya. Allah berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلاِنْسَ اِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ.

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”.[2]

Seterusnya, matlamat dan tugas para Nabi dan Rasul ialah memberi khabar gembira kepada sesiapa yang mengimani tauhid uluhiyah, tauhid rububiyah dan tauhid asma’ wa-sifat. Hanya para Nabi dan Rasul yang paling benar dalam menyampaikan khabar yang menakutkan kepada manusia iaitu berita tentang azab api neraka yang amat pedih jika mereka mengingkari nama-nama, sifat-sifat dan tidak mentauhidkan Allah Azza wa-Jalla. Para Nabi dan Rasul membimbing (mentarbiyah) dan membersihkan akidah (mentasfiyah) dengan membawa mereka untuk mengibadahi hanya Allah dan mentaati Rasulullah yang membawa utusan dari Allah.
Sumber bertalaqi (mendapat ilmu) akidah yang benar bagi para Ahli Sunnah wa-Jamaah yang bermanhaj Salaf as-Soleh ialah: Al-Quran, As-Sunnah dan Ijmak Salaf kerana hanya dari sini sahaja sumber pengambilan ilmu agama Islam yang paling selamat.

Apabila mereka berikhtilaf, para Salaf akan memahamkan dan menyelesaikannya dengan membawakan hujjah. Sama ada dalam hal-hal yang berkaitan dengan akidah, ibadah, akhlak dan selainnya.

Bagi para Salaf as-Soleh, persoalan akidah dan ibadah adalah persoalan tauqifiyah, tidak dibenarkan mengambilnya dari sumber yang bukan wahyu, terutamanya akidah kerana akidah adalah persoalan wahyu yang tidak boleh dicabuli oleh akal dan pendapat.

Sesiapa yang cuba menyelesaikan persoalan syara melalaui jalan yang bukan dari wahyu maka ia telah melakukan pembohongan atau penipuan kerana ia memperkatakan tentang Allah tanpa ilmu dariNya. Tambahan pula terdapat sebuah hadis yang menjelaskan:

وَعَلَى الرَّسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبَلاَغ ، وَعَلَيْنَا التَّسْلِيْمِ.

“Kewajipan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam menyampaikan dan atas kita menerima”.[3]

Para sahabat, imam-imam tabi’in dan orang-orang yang mengikut jejak mereka daripada ulama hadis, mereka semua sentiasa dalam petunjuk iktiqad yang selamat lantaran mereka hanya menerima (mengambil) akidah dari Rasulullah, itulah yang dikatakan سبيل المؤمنين “Jalan atau manhajnya orang-orang Salaf yang paling beriman” sehingga Al-Auzaii rahimahullah berkata:

عَلَيْكَ بَآثَارِ مَنْ سَلَفَ وَاِنْ رَفَضَكَ النَّاس ، وَاِيَّاكَ وَرَاْيُ الرِّجَال وَاِنْ زُخْرُفُوْهُ لَكَ بِالْقَوْلِ.

“Hendaklah kamu mengikut athar Salaf sekalipun engkau disingkir oleh manusia. Tinggalkanlah pendapat seseorang sekalipun membawa kata-kata yang mempersonakan”.[4]

Hanya Allah pemberi hidayah. Dan semoga selawat dan salam terlimpah ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam serta seluruh keluarga dan sahabat baginda.

Penekanan dan pengakuan sebagai Ahli Sunnah wal-Jamaah amat diambil kira oleh majoriti umat Islam sekarang. Namun memahamkan peri pentingnya bermanhaj Salaf as-Soleh amat sedikit diperkatakan. Apakah ini berlaku bersebab dari terkeluarnya mereka dari manhaj Salaf atau perbuatan, akidah, ibadah dan akhlak mereka tidak menepati piawaiyan Salaf, malah bertentangan dengan kehendak Salaf? Atau juga mereka tidak mengetahui apa itu manhaj Salaf dari segi bahasa dan syara.
Buku ini mengupas, membincang dan menjelaskan pengertian apa itu manhaj Salaf secara ilmiyah. Semoga ianya menjadi panduan kepada pembaca budiman demi memahami persoalan “Manhaj Salaf” yang sebenarnya.

————————————————————-

[1] . Al-Anbiya. 21:25.
[2] . Az-Zariyat. 51:56.
[3] . H/R Bukhari. Kitab at-Tauhid. Bab 46. Fathul Bari. 13/508.
[4] . Lihat: Tarikh al-Islam. Hlm. 141 Oleh Az-Zahabi.

Iklan