27 – PENGERTIAN AL-JAMAAH


PENGERTIAN AL-JAMAAH

Al-Jamaah sebagai yang warid menurut pengistilahan Ahli Sunnah wal-Jamaah ialah: Makna Jamaah di segi bahasa: Dari kata جمع. Dikatakan: جمع المتفرقة “Menyatukan yang berpecah-belah”. Dan الجماعة ضد الفرقة “Jamaah lawannya berpecah-belah”.[1]

Lafaz jamaah terdapat di beberapa hadis sahih, antaranya sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

يَدُ الله مَعَ الْجَمَاعَة

“Tangan Allah bersama Jamaah”.[2]

كُلُّهَا فِى النَّارِ اِلاَّ الْجَمَاعَة

“Semuanya di neraka kecuali satu iaitu jamaah”.[3]

كُلُّهَا فِى النَّار اِلاَّ وَاحِدَة وَهِيَ الْجَمَاعَة.

“Semuanya di neraka kecuali satu iaitu al-Jamaah”.[4]

Al-Jamaah juga secara bahasa diambil dari kalimah (الجمع) al-Jam’u iaitu:

Pertama: Al-Jamaah bermaksud:

(1). Mengumpulkan atau menyatu-padukan yang berpecah-belah (bercerai-berai).[5]

(2). Bersatu dan lawannya berpecah-belah.

(3). Perkumpulan manusia yang bersatu untuk tujuan yang sama”.[6]

Kedua: Golongan yang terbesar atau yang paling ramai (السواد الاعظم) dari kalangan umat Islam.[7] Termasuk juga para ahli ilmu, imam-imam mujtahid[8] dan para awliya.

Ketiga: Golongan para ulama yang mujtahid.[9]

Keempat: Setiap Umat Islam yang bersatu di bawah satu amir (pemerintah Islam).[10]

Kelima: Secara khususnya ialah para sahabat Nabi Muhammad.[11] Pengertian ini diambil dari sabdanya:

فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِيْ وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ

“Hendaklah kamu kembali kepada sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk”.[12]

Keenam: Setiap mukmin yang mengikut kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad[13] walaupun seorang diri sebagaimana athar sahih di bawah ini:

اَلْجَمَاعَةُ : هِيَ الَّتِيْ مَا اَنَا عَلَيْهِ وَاَصْحَابِيْ

“Al-Jamaah: Iaitu yang serupa dengan apa yang ada pada diriku dan para sahabatku”.[14]

Berkata Imam Syatibi rahimahullah berkaitan hadis di atas:

“Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak menjelaskan firqah (golongan) yang berjaya kecuali menunjukkan sifat mereka. Tidak dikatakan misalnya: “Aku dan sahabat ku”. Tetapi disebut sifatnya (manhajnya), iaitu: “Apa yang ada pada aku (seperti manhaj aku) dan para sahabatku”. Tidak diragukan lagi bahawa para sahabat termasuk apa yang disifatkan oleh baginda (tentang kesempurnaan manhajnya. Pent)”. [15]

Beliau meneruskan lagi:

“Ini bermakna kemenangan tidak dikhususkan kepada sesiapa yang telah berlalu sebaliknya meliputi setiap yang mendatangkan (mengikut/mencontohi) sifat-sifat golongan yang berjaya sehinggalah ke Hari Kiamat”.[16]

Contoh Jamaah yang berjaya tentulah Jamaah Nabi dan para sahabat baginda sebagaimana disebut:

اَلْجَمَاعَةُ : هِيَ الَّتِيْ عَلَى مِثْلِ مَا اَنَا عَلَيْهِ الْيَوْمَ وَاَصْحَابِيْ

“Al-Jamaah: Ia adalah yang berada di atas contoh (seperti) apa-apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya pada hari ini”.[17]

Berkata Abu Syamah rahimahullah:

“Setelah datang perintah agar sentiasa dalam jamaah maka yang dimaksudkan dengan jamaah ialah sentiasa komitmen (iltizam) mengikut kebenaran dan berjamaah, sekalipun yang berpegang dengan kebenaran itu sedikit dan yang menentangnya ramai. Kerana kebenaran yang sebagaimana pada jamaah pertama dari golongan para nabi dan para sahabat tidak pernah terkesan walaupun melihat kepada banyaknya ahli batil semasa atau selepas mereka”.[18]

Kenyataan Abu Syamah amat bersesuaian dengan apa yang dijelaskan oleh Ibn Masoud radiallahu ‘anhu:

اِنَّ جُمْهُوْر النَّاسِ فَارِقُوْا الْجَمَاعَة ،وَانَّ اَلْجَمَاعَة مَا وَافَقَ الْحَقَّ وَاِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ.

“Sesungguhnya kebanyakan manusia akan meninggalkan Jamaah, sesungguhnya Al-Jamaah ialah apabila mengikuti kebenaran sekalipun engkau hanya seorang diri (keseorangan).”[19]

Berkata Abu Syamah rahimahullah:

“Apabila telah datang perintah agar komitmen kepada al-Jamaah, yang dimaksudkan dengannya ialah beriltizam pada al-Hak (kebenaran) dan mengikutinya, walaupun yang berpegang kepada kebenaran amat sedikit, yang meninggalkannya amat banyak. Kerana kebenaran yang berada bersama pada Jamaah yang pertama bersama Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam serta para sahabat radiallahu ‘anhum tidak pernah melihat kepada ramainya ahli batil sesudah mereka”.[20]

Berkata juga Naim bin Hammad:

اَي اِذَا فَسَدَتِ الْجَمَاعَة ، فَعَلَيْكَ بِمَا كَانَتْ عَلَيْهِ الْجَمَاعَة قَبْلَ اَنْ تَفْسَدَ ، وَاِنْ كُنْتَ وَحْدَكَ ، فَاِنَّكَ اَنْتَ الْجَمَاعَةَ حِيْنَئِذٍ.

“Iaitu apabila telah rosak sekalian jamaah maka bagimu mengikut sebagaimana jamaah yang belum rosak sekalipun engkau seorang diri kerana bahawasanya engkau dikala itu dalam jamaah”.[21]

Oleh yang demikian Ibnu Qaiyim berkata:

“Keseluruhan manusia dizaman Imam Ahmad bin Hambal telah tergelincir hatinya (شذ) kecuali sedikit yang masih di atas kebenaran maka yang sedikit itulah yang dalam Jamaah. Yang diketika itu para kadi (gabenor/pembesar), para mufti dan Khalifah mereka semua telah tergelincir (akidah mereka) hanya Imam Ahmad seorang sahaja dalam Jamaah”.[22]

Imam Ahmad, pada zamannya dianggap dalam Jamaah walaupun keseorangan dalam menegakkan kebenaran, yang mana beliau mempertahankan kebenaran bahawa “Al-Quran itu adalah Kalamullah bukan makhluk”. Beliau ditentang oleh seluruh kadi, mufti dan Khalifah yang sudah rosak pemahamannya kerana meyakini bahawa al-Quran itu makhluk. Menurut pengertian dan hakikat Jamaah maka Imam Ahmad tetap dalam Jamaah kerana beliau berada di dalam kebenaran dan mempertahankannya. Dengan ini jelaslah bahawa kebenaran itu adalah al-Quran dan as-Sunnah. Al-Jamaah adalah sesiapa yang kembali kepada kebenaran (al-Quran dan as-Sunnah) mengikut manhaj para sahabat kerana para sahabat sentiasa memelihara dan mengikut kebenaran yang diturunkan kepada Rasullullah yang berupa al-Quran dan as-Sunnah. Allah berfirman:

اَلْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ فَلاَ تَكُوْنَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِيْنَ.

“Kebenaran itu dari Tuhanmu sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang ragu”.[23]

Dari ayat inilah Ibn Qaiyim rahimahullah berpendirian bahawa Imam Ahmad rahimahullah adalah contoh ketabahan ulama yang mempertahankan Jamaah walaupun kebanyakan dari mereka telah menyeleweng. Ini ditegaskan oleh beliau dalam ucapannya:

“Telah menyimpang manusia semuanya pada zaman Imam Ahmad bin Hambal kecuali beberapa orang sahaja yang masih dalam Jamaah. Dimana para kadi dimasa itu dan para mufti serta khalifah dan pengikut mereka semuanya telah menyimpang namun Imam Ahmad bersedirian dalam Jamaah”.[24]

Antara penafsiran yang paling tepat (rajih) tentang “Jamaah” ialah:

“Mereka yang tergolong dari kalangan sahabat kerana sentiasa di atas kebenaran, ahlinya dan golongan yang teramai (السواد الاعظم) mengikut fahaman salaf yang paling hak”.[25]

Dengan ini sesiapa yang mengikut manhaj para sahabat dengan baik maka ia digolongkan sebagai al-Jamaah. Ada pun antara nama-nama jamaah yang diberikan namanya oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam ialah:

1- Ahli al-Hadis atau Ahli al-Athar.[26]

Digelar Ahli Hadis kerana beramal dan menyibukkan diri mereka dengan hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Dan digelar Ahli Athar kerana mereka para sahabat Nabi yang paling memahami hadis, mengamalkan, paling mengetahui untuk membezakan antara yang hak dengan yang batil dan sentiasa berhujjah dengan hadis.

Berkata Ibn Qaiyim rahimahullah:

“Ahli Hadis adalah golongan yang paling benar sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnul Mubarak: Aku dapati agama berada pada ahli hadis, percekcokan pada golongan Muktazilah, pembohongan pada ar-Rafidhah dan banyak berhelah pada Ahli ar-Rakii”.[27]

Berkata Abdul Qadir Jailani rahimahullah:

“Sesungguhnya Ahli Sunnah, mereka tidak mempunyai nama kecuali nama yang satu iaitu Ashabul Hadis”.[28]

2. Firqah an-Najiyah, Firqah al-Mansurah atau At-Taifah an-Najiyah, at-Taifah al-Mansurah. Berkata Ibn Taimiyah:

“Apa yang dikatakan Firqah an-Najiyah ialah pengikut para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Ia adalah syiar (Ahli sunnah). Dinamakan Firqah an-Najiyah kerana mereka itu terdiri dari Ahli Sunnah”.[29]

3. Ahli Ittiba’. Dinamakan Ahli Ittiba’ kerana berittiba’ (mentaati) al-Quran, as-Sunnah serta athar para sahabat.

3. Al Guraba’ (الغرباء) bermaksud: “Golongan yang aneh, asing, luar biasa, dagang atau sedikit”:

بَدَاَ اْلاِسْلاَمُ غَرِيْبًا سَيَعُوْدُ غَرِيْبًا كَمَا بَدَأ فَطُوْبَى للغُرِبَاءِ.

“Islam itu bermula dengan aneh maka akan kembali menjadi aneh maka berbahagialah orang yang aneh”.[30]

عَنْ سُفْيَانِ الثَّوْرِيِّ اَنَّهُ قَالَ: اِسْتَوْصُوْا بِاَهْلِ السُّنَّةِ خَيْرًا فَاِنَّهُمْ غُرَبَاءُ

“Sufyan ath-Thauri berkata: Berwasiatlah kepada Ahli Sunnah dengan kebaikan kerana mereka ghuraba”.

Paling tepat dinamakan al-Jamaah ialah: “Mereka yang termasuk dalam nama-nama yang berkaitan dengan Jamaah Islamiyah yang mengikuti manhaj para sahabat, tabi’in, tabi’ut at-tabi’in dengan baik, terutama para ulama mujtahid yang berpegang kepada al-Kitab dan as-Sunnah”.[31] Gelaran Ahli Sunnah wal-Jamaah muncul diakhir zaman sahabat.

Imam Malik rahimahullah ketika ditanyakan kepada beliau siapa Ahli Sunnah, beliau menjawab:

اَهْلُ السُّنَّةِ الَّذِيْنَ لَيْسَ لَهُمْ لَقْبٌ يُعْرَفُوْنَ بِهِ ، لاَ جَهْمِيُّ وَلاَ قَدَرِيٌّ وَلاَرَافِضِيٌّ.

“Ahlu Sunnah adalah mereka yang tidak memiliki gelaran tertentu yang mereka dikenali dengan gelaran tersebut. Mereka bukan Jahmiyah, bukan Qadariyah dan bukan Rafidhah”.[32]

Selain yang bermanhaj Salaf, mereka adalah Ahli Bid’ah. Keterangan ini diambil dari athar Ibn Abbas apabila menafsirkan Firman Allah:[33]

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوْهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوْهٌ.

“Pada hari yang diwaktu itu ada muka yang putih berseri dan ada pula muka yang hitam muram”.[34]

Menurut Ibn Abbas radiallahu ‘anhu:

“Orang yang putih berseri mukanya ialah Ahli Sunnah wal-Jamaah dan Ulul al-Ilm dan yang hitam muram mukanya ialah ahli bid’ah atau orang yang sesat”.[35]

Dan sesiapa yang meninggalkan manhaj Salaf as-Soleh adalah firqah yang terkeluar dari Ahli Sunnah wal-Jamaah kerana Rasulullah bersabda:

لَتَفْتَرِقَنَّ اُمَّتِيْ عَلَى ثَلاَثِ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً وَاحِدَةٌ فِى الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِى النَّارِ . قِيْلَ : مَنْ هُمْ ؟ قَالَ : اَلْجَمَاعَة.

“Akan berpecah umatku kepada 73 firqah, hanya satu ke syurga dan 72 ke neraka. Baginda ditanya: Siapa mereka? Baginda bersabda: Al-Jamaah”.[36]

Dalil yang menjelaskan hanya yang berpegang kepada al-Quran, as-Sunnah, athar dan bermanhaj Salaf as-Soleh berhak dinamakan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang berdasarkan hadis:

مَا اَنَا عَلَيْهِ الْيَوْمَ وَاَصْحَابِيْ.

“(Al-Jamaah) ialah sesiapa yang seperti aku hari ini dan para sahabatku”.[37]

Diperintahkan agar bermanhaj akidah dan amal seperti manhajnya para sahabat, tabi’in dan tabi’ut at-tabi’in kerana mereka para salaf yang wajib diikuti manhajnya. Firman Allah:

وَكُوْنُوْا مَعَ الصَّادِقِيْنَ

“Hendaklah kamu bersama orang-orang siddiqin”.[38]

Yang dimaksudkan syuhada, solehin dan siddiqin adalah para sahabat kerana mereka adalah golongan Salaf sebenar. Dan bermanhaj Salaf adalah suruhan al-Quran. Firman Allah:

وَاتَّبِعْ سَبِيْلَ مَنْ اَنَابَ

“Ikutilah jalan orang-orang yang kembali kepadaKu”.[39]

Mereka yang kembali ke jalan Allah tentulah Rasulullah dan para sahabat kerana mereka mematuhi firman Allah:

اِتَّبِعُوْا مَا اُنْزِلَ اِلَيْكُمْ مِنْ رَبِّكُمْ وَلاَ تَتَّبِعُوْا مِنْ دُوْنِهِ اَوْلِيَاءَ قَلِيْلاً مَا تَذَكَّرُوْنَ.

“Ikutlah oleh kamu apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu, janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selainNya. Amat sedikit dari kamu mengambil pelajaran”.[40]

“Mengikut apa yang telah diturunkan” ialah kembali kepada wahyu. Wahyu ialah Al-Quran dan sunnah Rasulullah berdasarkan firman Allah:

وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى اِنْ هُوَ اِلاَّ وَحْيٌ يُوْحَى

“Tiadalah yang diucapkannya itu menurut hawa nafsunya. Ucapannya itu wahyu yang diwahyukan”.[41]

“Adapun syiar Ahli Sunnah wal-Jamaah itu ialah mengikuti (manhaj) Salaf as-Soleh dan meninggalkan segala bentuk bid’ah serta perkara-perkara baru yang dimasukkan ke dalam agama”.[42]

——————————————————————

[1]. Lihat: (1). Lisan al-Arabi 8/53 (مادة جمع).
Lihat: (2). مجموع فتاوى 3/157 Ibn Taimiyah.
[2]. H/R Turmizi dalam Sunannya 6/334. كتاب الفتن – باب فى لزوم الجماعة
Diriwayatkan oleh Hakim dalam Mustadrak 1/115, 116 كتاب العلم
[3] . H/R Hakim dalam Mustadrak 1/128. Kitabul Ilm. Disahihkan
oleh Ibn Majah sebagaimana menurut al-Albani 2/364. Kitab al-
Fitn.
[4] . H/R Hakim dalam Mustadrak 1/128. Kitab al-Ilm.
[5]. Lihat: (1). منهج اهل السنة والجماعة 1/20. Khalid bin Abdul Latif.
(2). القاموس المحيط . مادة : (حمع) Hlm. 917. Al-Fairuz Abadi.
[6]. Lihat: (1) مجموعة فتاوى Jld. 3. Hlm. 157.
(2). المعجم الوسيط . مادة : (جمع) Jld. 1. Hlm. 135.
[7]. Lihat: H/R At-Tabari dalam “Al-Kabir” (1/320).
[8] . Inilah yang diutamakan oleh Imam Bukhari, lihat dalam Sahihul
Bukhari 13/316. Fathul Bari bab: وكذالك جعلناكم امة وسطا Dan
lihat: Sunan at-Turmizi. 6/335.
[9]. (1). Ini kata-kata ‘Amru bin Qais dalam الابانة. 2/492. Ibn Battah
(2). Perkataan Bukhari di dalam kitab sahihnya (13/328).
(3). Turmizi dalam sunnannya (4/467).
[10]. Lihat: الاعتصام Jld. 2. Hlm. 263. As-Syatibi. Fathul Bari 13/38.
[11]. Inilah yang dijelaskan oleh al-Barbahari dalam شرح السنة Hlm. 22.
[12]. H/R Ahmad 4/162. Abu Daud 5/13. Turmizi 7/437 dan Ibn
Majah 1/15.
[13]. Lihat: شرح السنة Hlm. 22. Al-Barbahari.
[14]. Lihat: تحفة الاحوذى 7/399-340. Berkata Turmizi: Hadis ini hasan
dan gharib. Lihat: سلسلة الاحاديث الصحيحة No. 203 atau 1192.
Syeikh Al-Albani.
[15] . Lihat: الاعتصام 2/287-289. As-Syatibi.
[16] . Ibid.
[17] . As-Sahihah No. 203 dan 1492.
[18] . Lihat: الباعث على انكار البدع والحوادث hlm. 22. Abu Syamah.
Tahqiq Uthman Ahmad ‘Ambar. Cetakan pertama Mesir.
[19]. Lihat: Riwayat Baihaqi. al-Madkhali. الحوادث والبدع Hlm. 22.
Abu Syamah. Disahihkan oleh Nasruddin al-Albani.
Lihat: الباعث على انكار البدع والحوادث hlm. 91-92. Tahqiq Masyhur
bin Hasan Salman.
Lihat: Syarah Usul iktiqad. No. 160. Al-Lalikaii.
[20] . Lihat: الباعث علىابكارالبدع والحوادث Hlm. 22 Abu Syamah
Ditahqiq: Uthman Ahmad ‘Anbar. Cetakan Pertama 1978 Mesir.
[21] . Lihat: اعلام الموقعين 3/397. Ibnu Qaiyim.
[22] . Ibid.
[23]. Al-Baqarah, 2:147.
[24] . Lihat: اعلام الموقعين 3/397. Ibnul Qaiyim.
[25]. Lihat: اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى. 1/ 23.
[26]. Lihat: مقالات الاسلاميين 1/290 Abu al-Hasan Ali Bin Ismail al-Asy’ari
[27]. Lihat: Bahaya Taqlid Buta & Ta’sub Mazhab. Hlm. 81. Rasul
Dahri.
[28]. Lihat: الغنية لطالبي طريق الحق 1/71 Abdulqadir Jailani. Darul Ma’rifah.
Bairut. Cetakan kedua.
[29]. Lihat: منهاج السنة Jld. 3. Hlm. 457. Ibn Taimiyah.
[30]. H/R Muslim.
[31]. Lihat: منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى Juz 1
Hlm.23.
[32] . Lihat: الانتقاء hlm. 35. Ibn Abdil Barr.
[33]. Lihat: منهج اهل السنة والجماعة ومنهج الاشاعرة فى توحيد الله تعالى 1/23.
[34] . Ali-Imran, 3:106.
[35]. Ibid.
[36]. H/R Ibn Majah (2/1322). Hadis ini disahihkan oleh al-Haitimi
dalam (الزوائد). Disahihkan juga oleh al-Iraqi di dalam kitab
(تلخيص الاحياء) .
[37]. Lihat: H/R Turmizi. (تحفة الاحوذى) (7/399-240).
[38]. Taha, 20:119.
[39] . Luqman, 31:15.
[40] . Al-Araf, 7:3.
[41] . An-Najm. 54:3-4.
[42] . Lihat: الحجة فى البيان المحجة 1/364. Al-Asbahani.